Dua warga Malaysia di Guantanamo belum didakwa



"DUA rakyat Malaysia yang ditahan di Teluk Guantanamo masih belum didakwa tetapi diklasifikasikan sebagai 'high value detainees', kata Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay.


Berikutan itu, beliau berkata, jenis kesalahan Mohd Farik Amin serta Mohammad Nazir Lep masih belum diketahui, sekali gus tidak boleh didakwa mereka sebagai pengganas.

"Kedua-dua tahanan ini hanya diberitahu kepada perwakilan kita pada 2006 dan setakat hari ini (semalam) mereka masih belum didakwa.

"Mereka diklasifikasikan sebagai 'high value detainees' yang ada kira-kira 18 orang di sana," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan).

Menjawab soalan tambahan Gwo-Burne Loh (PKR-Kelana Jaya) pula, Kohilan berkata, kerajaan akan terus memantau kebajikan mereka serta memastikan kedua-duanya dibebas dan dihantar pulang.

Terdahulu menjawab soalan Loh, Kohilan berkata, kerajaan sentiasa mengulangi permohonan kepada pentadbiran Amerika Syarikat supaya Mohd Farik dan Mohammad Nazir dihantar balik ke Malaysia untuk menghadapi proses undang-undang negara ini.

Malah, katanya, Perdana Menteri sendiri menyampaikan hasrat itu kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, melalui perbualan telefon pada 26 Jun lalu.

Selain itu, beliau berkata, Datuk Seri Najib Razak juga meminta kedua-dua tahanan berkenaan dilayan mengikut norma antarabangsa dan secara berperikemanusiaan.

"Obama mengalu-alukan permintaan Malaysia dan menyatakan bahawa perkara itu akan dirujuk kepada pihak keselamatan Amerika Syarikat yang berkaitan.

"Menteri Luar terdahulu memaklumkan permohonan Malaysia kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton, pada 14 Mei lalu di Washington dan setiausaha Clinton sudah memberi komitmen untuk memaklumkan kepada Malaysia sebaik saja keputusan diambil oleh pentadbiran Amerika Syarikat

"Sewaktu perbincangan dengan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, James Steinberg, ketika lawatan kerja ke New York serta Washington, pada 25 November lalu, Perdana Menteri sekali lagi mengulangi hasrat Malaysia supaya mereka dihantar balik ke negara ini," katanya.

Sementara itu, Kohilan berkata, kerajaan akan terus memantau dengan teliti perkembangan kajian semula pentadbiran Amerika Syarikat bagi menentukan langkah ke arah melaksanakan Arahan Eksekutif yang ditandatangani Obama supaya kem tahanan Teluk Guantanamo ditutup dalam masa setahun."

dipetik dari berita harian(4dec-jumaat)

0 comment: